Dulu ustaz kata jika kita buat baik
pasti dibalas baik, tetapi dalam realitinya kenapa tidak? “
Saya diam.
“Saya dah lama buat baik tetapi
sampai sekarang tidak dibalas baik.”
Saya masih diam. Ibu separuh
umur itu saya lihat keletihan. Bukan letih badan tetapi perasaan… Raut wajahnya
suram. Sinar matanya kelam.
“Sampai bila saya nak buat baik?”
asaknya lagi.
“Sampai bila-bila,” jawab saya
pendek.
“Berapa lama?” tusuknya dengan
soalan yang seakan sama.
“Selama-lamanya, “ jawab saya dengan
nada yang sama.
“Saya kecewa. Budi tidak dibalas,
kebaikan tidak dikenang.”
“Oleh siapa?” tanya saya.
“Suami dan anak-anak, “katanya terus
terang.
“Setiap kebaikan pasti dibalas
dengan kebaikan,” tegas saya perlahan.
“Ya kah?”
“Ya. Pasti. Allah pasti membalas
kebaikan sekalipun sebesar zarah. Itu janji Allah dalam Al Quran. Walaupun
sekiranya anak-anak dan suami puan tidak membalasnya, Allah pasti membalasnya.
Tidak di akhirat, pasti di dunia. Atau kedua-duanya sekali.”
“Payahlah ustaz kalau semuanya
dibalas di akhirat… “
“Itulah iman puan. Percayalah pada
Allah. Percayalah pada Hari Akhirat. Allah pasti membalas kebaikan yang kita
buat di akhirat nanti.”
“Berbaloikah jika semua kebaikan
hanya dibalas di akhirat?”
“Sangat berbaloi. Di akhirat balasan
Allah terhadap setiap kebaikan yang kita lakukan adalah lebih baik dan lebih
kekal. Malah, menurut para ulama, kalaulah kita nampak ganjaran berganda yang
bakal kita nikmati di akhirat nanti nescaya kita akan meminta agar semua kebaikan
yang dibuat dibalas hanya di akhirat sahaja… di dunia tidak dibalas pun tak
mengapa.”
“Saya letih ustaz, “katanya terus
terang.
“Membuat kebaikan memang meletihkan
tetapi ganjarannya memang besar.”
“Bagaimana hendak buat kebaikan
tanpa merasa letih? Maksud saya, bukan letih badan sahaja tetapi letih jiwa
ustaz?”
“Buatlah kerana cinta, buatlah
kerana cintakan Allah,” ulang saya.
“Jadi saya letih membuat kebaikan
selama ini kerana mengharapkan kasih-sayang suami? Kerana harapkan kasih sayang
anak-anak.”
Saya mengangguk perlahan. Jika kita
berbuat kerana manusia, pasti ada manusia yang akan mengecewakan kita. Jangan
memburu cinta manusia. Tetapi burulah cinta Allah, nescaya cinta manusia akan
mengekor. Itulah bisik hati saya. Pada ketika itu juga saya segera
teringat sebuah hadis yang saya temui sejak lama dahulu. Daripada Abu Hurairah
r.a., Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seseorang
hamba, maka Dia memanggil Jibrail, “Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka
cintailah ia.” Jibrail pun mencintainya, lalu Jibrail menyeru penduduk langit,
“Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah ia.” Maka penduduk
langit mencintainya, kemudian ia mendapat penerimaan di dunia.”
“Tapi ustaz, saya bukan orang baik…”
“Puan, kita buat baik bukan kerana
kita sudah menjadi orang baik… tetapi itulah usaha kita untuk menjadi baik.”
“Jadi ustaz?”
“Berterusanlah kita buat baik untuk
menjadi orang yang baik…” jawab saya.
“Mengapa suami kita mengecewakan?”
“Itu soalan yang sukar dijawab. Hati
orang tidak dapat diduga. Kadangkala kita buat baik, dibalas baik. Ada masanya
kita buat baik dibalas sebaliknya. Madu yang kita beri dibalas tuba. Jangan
bergantung pada manusia kita akan kecewa.”
“Tapi hati isteri ustaz, tetap
mengharap…”
“Tidak salah mengharap. Bahkan kita
disuruh untuk berdoa bagi mendapat suami yang baik. Tetapi jangan bergantung
semata-mata kepada suami untuk bahagia. Bergantunglah kepada Allah. Jika suami
berpaling, Allah tidak. Allah sentiasa setia menunggu cinta hambaNya.”
Saya pernah menulis tentang
‘hierarki’ cinta. Jangan tersalah meletakkan keutamaan cinta. Pada seorang
isteri cinta utamanya Allah, kedua Rasulullah SAW, ketiga barulah suaminya.
Namun sekarang kebanyakan wanita meletakan suami sebagai cinta nombor satu, dua
dan tiganya. Akibatnya, apabila suami berubah cinta, seluruh hidupnya dianggap
musnah. Padahal dia sebenarnya masih mempunyai harapan. Cinta nombor satu dan
duanya sentiasa ada… sentiasa, selama-lamanya!
Isteri separuh umur itu termenung.
Saya pasti akalnya mula berfikir, hati dan perasaannya mula bermuhasabah dan
merenung.
“Tidak ada manusia yang menyayangi
puan?” suntik saya untuk ‘mengusik’ diamnya yang agak panjang.
“Er, ramai. Ibu-bapa saya sangat
menyayangi saya. Begitu juga adik-beradik. Mereka sentiasa ada di sisi dalam
senang dan susah.”
“Itu juga menunjukkan kebaikan yang
puan lakukan telah dibalas di dunia lagi. Puan… hilang cinta suami, tetapi
cinta ibu-bapa tetap ada. Cuma kadangkala kita lupa. Akibatnya, nikmat
yang ada jarang disyukuri, nikmat yang tiada sering dirisaukan. Cinta yang
telah ada, kita lupakan. Cinta yang tidak ada… itu yang kita buru
habis-habisan.
“Oh, saya terlupa. Saya
terlupa kelebihan yang ada pada diri ustaz. Saya hanya fokus kepada apa
yang tidak ada. Sebab itu saya jarang bersyukur. “
“Malah, apa yang puan miliki
sebenarnya lebih baik. Katalah, puan tidak dapat ganjaran di dunia, insyaAllah
semoga puan dapat ganjaran di akhirat. Akhirat itu lebih baik dan kekal.
Puan tidak mendapat cinta suami tetapi puan mendapat cinta Allah. Bukankah itu
lebih berharga?”
“Kalau dapat…”
“Jangan pesimis. Bersangka baiklah
puan. Allah mengikut sangka hambaNya. Jika kita sangka baik, Allah akan bagi
baik.”
“Saya tak layak mengatakan diri ini
sudah ikhlas ustaz.”
“Siapa pun tidak layak mengatakan
dirinya ikhlas. Ikhlas itu rahsia dalam rahsia Allah. Namun apabila ditanya,
apakah kamu seorang yang ikhlas? Maka jawablah dengan pasti, saya sedang sedaya
upaya berusaha untuk ikhlas!”
“Orang yang sedang berusaha untuk
ikhlas tidak gembira ustaz?”
“Di jalan ikhlas, kegembiraan ada di
sepanjang jalan, bukan hanya di hujung jalan,” kata saya.
“Jadi kalau saya belum gembira
ustaz?”
“Mungkin kerana puan sudah berhenti
berjalan!”
Saya tersenyum. Teringat satu ungkapan yang
pernah memberi aspirasi ketika diri sendiri pernah mengalami perasaan yang
sama: Sekalipun sudah berada di jalan yang benar, tetapi apabila kita berhenti
berjalan, kita akan digilis dari belakang. Ya, hidup umpama mengayuh basikal,
selagi tidak berhenti mengayuh selagi itulah kita tidak akan jatuh. Berbuat
baik itu adalah tugas selama-lamanya, sampai bila-bilaSumbar :
Seminar Keunggulan Minda-MENJADI USAHAWAN MUKMININ →

Tidak ada komentar:
Posting Komentar